"Impak Maksima bakal menjanjikan dua kali ganda aksi serta lebih banyak adegan yang berani berbanding dengan Remp-It"
Dengan kejayaan percubaan pertama mempertaruhkan genre aksi menerusi Remp-It, Ahmad Idham tidak teragak-agak untuk mengulangi percaturan tersebut menerusi filem terbarunya, Impak Maksima.
"Saya berani untuk mengatakan bahawa Impak Maxima bakal memaparkan lebih banyak adegan aksi yang mencabar berbanding dengan Remp-It.
"Malah, kos penerbitan filem ini adalah dua kali ganda daripada Remp-It," ujar pengarah yang kini hangat di pasaran mengenai projek kedua untuk syarikat penerbitannya, Excellence Pictures Sdn Bhd.
Impak Maksima akan memaparkan kisah segolongan anak muda yang minat terhadap bidang extreme sports seperti perlumbaan go-cart, kereta serta motorsikal, mirip filem barat Too Fast Too Furious.
Malah, filem tersebut akan menyelitkan gejala sosial yang kian berleluasa di kalangan muda-mudi negara yang menjalani kehidupan yang bebas serta tidak terkawal.
Jika dalam Remp-It, Idham mempertaruhkan Farid Kamil sebagai hero, kini pengarah filem Tipah Tertipu itu mahu mengenengahkan muka baru sebagai tunggak utamanya.
"Saya mahu ambil Awal Ashaari sebagai hero saya. Apa yang industri filem kita perlukan adalah muka-muka baru untuk memberi kesegaran serta perubahan secara konsisten," ujar pengarah yang berumur 36 tahun itu lagi.
More Information :http://mstar.com.myLink(Trailer) : http://www.youtube.com/watch?v=m6Io_yFqVec
No comments:
Post a Comment